Assalamualaikum wbt...
Bismillahirahmaanirrahim, Dengan Nama Allah Aku menulis dan
hanya keranaNya aku memohon keredhaan dalam nukilan aku ini. Bukan kerna aku
inginkan nama dalam hidup ini kerana nama hanya akan pudar dari ingatan
manusia, namun hanya keberkatan dan kasih sayang Allah yang aku dambakan moga
aku diberikan secebis kasih sayang itu untuk dijadikan sebagai mahar untuk aku
tegakkan pula syiar agamaNya diatas muka bumi ciptaanNya ini. Bukan kerna tiada
isu lain yang ingin dibicarakan namun, benak hati terlalu ingin membicarakan
soal ini, mungkin kerana rasa cinta itu mudah pudar dan luntur dari kaca mata
hati manusia kepada Tuhan Penciptanya. Atau mungki n kerana isu cinta inilah
yang banyak membahanakan jiwa insan bergelar “pelupa” ini. Mengapa terlalu
“biadap” bunyinya, hingga dinamakan sebagai pelupa , iya kerana itu adalah
kebenarannya , manusia terlalu mudah lupa terutamanya kepada Penciptanya yang
Agung, Allah Azzawajalla. Tuhan Yang Memiliki Sekalian Alam ini, tiada yang
tersembunyi dari pandanganNya. Pelupanya kita sehinggakan pada nilai pandangan
kita tiada ternilai sedikit pun oksigen yang kita hirup setiap detik dan setiap
saat ini adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita, namun tiada
langsung rungutan dariNya. Pelupanya kita sehinggakan tiada ternilai langsung
setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita walaupun secebis roti busuk
adalah kurniaan Allah kepada kita, namun pada kita masih jua merungut dan
menyalahkan takdirNya. Kerana cinta Allah pada kita itulah kita masih lagi
bernafas, hidup atas muka bumi pinjamanNya ini, masih mampu berjalan, masih
mampu mendengar, masih mampu melihat ciptaan agungNya, dan masih mampu
bercakap. Namun kerana lupalah kita asyik dengan duniawi sahaja dan lupakan
Dia. Kerena gantian cinta dunia dengan cinta Allah lah kita lupa, kita gunakan
nikmat Allah untuk kita berjalan yang sepatutnya dihayunkan kaki itu ke masjid,
surau waima majlis ilmu sekalipun kita gunakan untuk ke tempat-tempat maksiat,
rumah syaitan dan iblis laknatullah. Kerana lupa pada cinta Allah kita gunakan
nikmat tangan yang bias mengegar dunia itu untuk memusnahkan alam ciptaanNya
ini, walhal sepatutnya tangan itu digunakan untuk diangkat mendoakan
kesejahteraan diri, keluarga, bahkan jua saudara seagama dengan kita, tangan
ciptaan Allah itulah jua yang sepatutnya dijadikan sebagai “penghubung” hidup
kita atas muka bumi ini dengan syurga yang kekal abadi kelak. Kerana lupa pada cinta Allah
jualah yang meyebabkan kita lalai dengan nikmat mulut yang dikurniakan Allah,
kita gunakan untuk mengumpat, kita gunakan untuk mengadu domba, kita gunakan
untuk menabur fitnah, membuka aib saudara kita sendiri. Nauzubillah. Dan kerana
lupa pada cinta Allah lah kita lupa untuk menutup nilai rasa malu diri kita
pada Allah, kerana jika pada manusia sendiri kita tidak malu untuk menutup aib
kita sendiri, bagaimana mungkin kita ada rasa malu untuk menirai maruah paling
berharga itu pada tuhan Pencipta kita sendiri.Allahurobbi!!!
Sahabat ikhwah dan ikhwat,
Cinta Allah pada manusia tiada galang gantinya, dan
jadikanlah cinta kita pada Allah jua, sebagai cinta yang tiada bandingannya. Rasa
cinta yang hadir dalam diri manusia adalah fitrah kehidupan manusia. Rasa suci
itu hadir, setelah dicampakkan anugerah yang terindah itu ke dalam hati seorang
insan yang mendambakan kasih sayang seorang insan yang lain. Persoalannya oleh
siapa rasa cinta itu dicampakkan ke dalam hati manusia? Adakah manusia itu
sendiri yang melontarkan, mengetarkan segenap hati dan jantung manusia untuk
merasai rasa cinta itu? Adakah rasa cinta itu datang sendiri tanpa diundang
oleh kita, manusia insan biasa yang selalunya mudah melupai kehangatan rasa
cinta itu? Adakah cinta sejati dalam dunia ini yang selalu diagung-agungkan
oleh manusia pelupa seperti kita? Terlalu banyak persoalan tentang cinta yang selalu hadir dalam benak
fikiran kita. Membuak-buak perasaan inginkan jawapan untuk persoalan yang diri
kita sendiri ajukan kepada sel-sel saraf yang bergabung membentuk gumpalan
tisu-tisu yang akhirnya melahirkan sebiji organ yang kita kenali sebagai otak
itu.
Sahabat ikwah dan ikhwat sekalian,
Ada juga persoalan tentang cinta
sebelum kahwin dan cinta selepas kahwin,
yang mana lebih membahagiakan? Persoalan, persoalan, dan persoalan. Dan
jawapannya sebenarnya ada dalam diri kita sendiri. Kita langsung tidak terfikir
bahawa setiap persoalan itu difikirkan oleh kita, diajukan kepada kita, dan
jawapannya seharusnya ada pada kita. Bagaimana kita menilai cinta? Bagaimana
kita menghargai cinta? Dan mengapa harus dihargai cinta itu? Adakah sama pula
cinta dan kasih sayang? Cinta itu sebenarnya rasa penghargaan yang tidak
ternilai untuk sesuatu. Rasa takut untuk kita hilang sesuatu itu. Rasa ingin
melakukan apa sahaja untuk si dia. Rasa inginkan pengorbanan untuk si dia. Dan
mungkinkah rasa cinta kita zahirkan hanya pada ungkapan cinta manis dibibir
sahaja,sedangkan hati gelap gelita untuk melihat dan melaksanakan rasa cinta
itu. Cinta lah pada Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia seluruh
semesta. Bahagia itu dalam diri, kesannya zahir, rupanya maknawi. Bahagia itu
jua ada dalam hati. Bahagia itu ada di jiwa. Bahagia itu suatu ketenangan.
Bahagia itu lahirnya dari cinta pada Tuhan yakni Allah Yang Maha Esa. Cintalah pada cinta yang
hakiki, barulah cinta pada manusia itu dapat dizahirkan, apa guna cinta pada
manusia, namun cinta pada Pencipta dikuburkan begitu sahaja tanpa ada nilai
walaupun sebesar sebutir pasir di pantai
yang tandus. Cintalah Allah dengan pengorbanan. Cintalah pada Allah dengan rasa
takut hilangnya kasih sayang daripadaNya. Cintalah pada Allah dengan rasa penuh
rendah diri, menyedari kekhilafan, kerendahan diri umpama hamba. Dan cintalah
pada Allah dengan rasa ingin melakukan apa sahaja demi melihat sinar agamaNya
menyinari setiap genap pelusuk dunia, tanpa mengira waktu. Usah takut jika hilang rasa kasih manusia lain pada kita, tapi takutlah
dan bersedihlah jika kasih sayang Allah yang hilang untuk kita. Dan ingatlah,
hidup tanpa cinta Allah umpama
layang-layang yang terputus talinya, tanpa pegangan, kerana tanpa cinta
Allah, walaupun berjaya di dunia, namun di akhirat yang kekal abadi, tiada
makna.
Wallahua'lam
Ikhlas: Pena Maya

No comments:
Post a Comment