Wadah Bicara

Bismillahirahmaanirrahim,,,

Alhamdulillah kerana dapat diberi kelapangan dalam menaip dan menukilkan sesuatu dalam blog Islamik yang sangat sederhana ini. InsyaAllah, semoga apa yang akan dinukilkan dan diwadahkan dalam blog ini akan memberikan sedikit manfaat dan ilmu yang berguna kepada semua para pembaca.
InsyaAllah,,,
Wallahua'lam

Thursday, 27 September 2012

Perjuangan Kita Sahabat

"Sahaja aku berjuang melalui penulisan blog ini kerana Allah SWT"

Ku berjalan mencari sebuah kebahagian dan disetiap kebahagian itu kutemukan ketenangan. Andai perjuangan ini mudah, sudah pasti ramai yang akan bersama denganku di medan mehnah ini, namun persoalan tulus ikhlas dan hendak bekorban untukNya pasti akan timbul jua.



Imam Hassan al-Bana menyatakan bahawa:

''Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.''

Andai diri dilemparkan dengan persoalan, mengapa perjuangan itu pahit, pasti dan sudah tentu jawapannya kerana SYURGA itu manis.

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehid
upan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.” (At-Taubah: 38)

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Al-Anfaal: 60)

Sandarkan perjuangan pada tarbiah, sahabat,

Tanpa tarbiyah, kita cuma berbicara kosong, berangan-angan kosong, dan sentiasa melaung-laung dengan dalaman yang kosong. Bukan tak boleh berbicara, bukan tak boleh melaungkan takbir, bukan tak patut kita membina kekuatan dalaman, tapi biarlah ia lahir daripada kesedaran yang mendalam daripada hati. 

"Sesungguhnya visi,misi dan sterategi yang telah digarap perlu didokong dan diteruskan sehinggalah usaha yang telah digerakkan mencapai sasaran. Tekadkan kesabaran di jiwa kerana yang pasti perjuangan ini akan diselangi dengan pelbagai mehnah dan cabaran yang akan terus menguji kesungguhan dan keikhlasan perjuangan kita. Insyaallah, berkat kesabaran ini Allah akan memberi maghfirah seterusnya menjadi mangkin dalam memajukan usaha dakwah yang kita lakukan."

(Nuradiman, Presiden PSS L)

Terkadang dalam perjuangan, mehnah dan tribulasi itulah yang paling banyak mematangkan fikiran kita. Yang membuatkan hati kita semakin kental dengan ujian yang membadai. Pantai mana yang tidak pernah dilanda badai, namun setiap badai itulah yang menjadikan kita semakin kenal diri dan Pencipta kita yang Esa. Allah SWT. Dalam perjuangan, tiada yang sunyi dari tohmahan dan cacian insan lain, namun itulah yang menjadikan kita kenal siapa diri pada kacamata nilaian orang lain.

Setiap orang tidak mungkin terlepas daripada hakikat perjuangan. Matlamat utama perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah untuk meninggikan kalimah Allah dengan melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini. Ia sesuai dengan tugas dan peranan Rasul itu diutus dengan berbekalkan wahyu al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 33:

"Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya mengatasi segala agama yang lain, walaupun orang musyrik tidak menyukainya".

Petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.


Sahabat,

Firman Allah s.w.t. Surah Al-Balad: 4 yang bermaksud (terjemahan):

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu dalam perjuangan (kehidupan bersusah payah.)”

Sedarilah sahabat, dalam perjuangan segala mehnah dan tribulasi sentiasa mengekori setiap langkah kaki kita, namun, itulah dia satu ujian keimanan dan kesabaran buat kita. Dan seperti yang saya katakan diawal tadi,,dalam setiap kebahagian itu pasti akan ditemukan ketenangan. Ketenangan dalam mencari cinta Allah, mediumnya mudah sahabat, perjuangan menuju Allah. Sedarilah jua sahabat, dalam perjuangan itu akan ada ujian, dan ujian itulah yang membawa kebahagian dan dalam kebahagian itu adanya pengorbanan dan dalam pengorbanan itulah adanya ketenangan. InsyaAllah.

Ayuh sahabat, kita raikan perjuangan ini dengan penuh kesabaran kerna sesungguhnya,

Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu Musa Al Asyaari: “Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.” (SAIDINA ABU BAKAR R.A)

Wallahua'lam
Ikhlas: Pena Maya





Nukilan Sahabat

Bismillahirrahmaanirrahim...

Assalamualaikum wbt...

Jam sekarang menunjukkan jam 11.25 malam, benak fikiran mula menerawang jauh sambil melayan perasaan. Memori terimbau kembali pada zaman persekolahan yang lampau, masih terbayang wajah-wajah ceria sahabat-sahabat lama, masih segar ingatan demi ingatan yang mula menerjah ke ruangan lembayung mata. Tanpa kusedari embun jantanku mula membasahi pipi, seandainya masa dapat ku undurkan buat ku kembali ke zaman persekolahan dahulu, ingin sekali aku memeluk dan ku ucapkan betapa aku rindu saat kenangan manis kita bersama dahulu.



Kenangan bersama seorang sahabat yang paling banyak saya kongsi luahan hati, perasaan dan rahsia saya. 

Jika dihujani pertanyaan: "Siapakah sahabat pada kacamatamu?"

Sudah pasti saya akan menjawab: "Sahabat saya adalah dia yang membawa saya ke jalan syurga Allah. Dia yang apabila saya lihat wajahnya, saya akan merasai ketenangan, dia yang apabila saya berbicara dengannya, bicara mampu membuatkan saya diam mendengarnya, dia yang apabila memdengar luahan hati saya, akan terus tersenyum dan menitipkan kata semangat buat saya, itulah dia sahabat saya."

Namun betapa susahnya untuk mencari sahabat yang mampu jadi sebaik yang diimpikan, kerana kita sendiri tidak pernah berusaha untuk menjadi sahabat yang terbaik buat sahabat yang lain.

“Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukan atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan, ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara & sahabat sejati yang sukar di cari ganti -Pakar Diari Hati-
Dalam persahabatan, tidak semuanya akan jadi manis, sudah pastinya akan ada rasa pahit. Luka dilukai itu lumrah dalam perhubungan. Manusia yang memaknakan sebuah persahabatan yang seharusnya berlandaskan hubungan kerana Allah. Kerana orang yang benar ukhuwwahnya, adalah yang mempercayai janji Allah SWT dan RasulNya dalam medan ukhuwwah ini.

Ingatlah firman Allah SWT:
“Pada hari itu(akhirat) sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”  Surah Az-Zukhruf ayat 67.
Terkadang jua kita perlu bekorban dalam persahabatan, seorang sahabat dikatakan sebagai sahabat yang baik pabila sanggup membantu kita dalam keadaan dia sendiri dalam kesempitan, namun hakikatnya berapa kerat sahaja yang sanggup bekorban untuk seseorang yang bukan darah dagingnya sendiri? Kalau terkadang, saudara sendiri pun kita pandang sepi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu, hinggalah dia mencintai saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Muttafaq ‘Alaih.

Persoalan lagi,,,berapa ramai yang meyantuni hadis ini? Berapa kerat diantara kita yang benar-benar ikhlas untuk bekorban untuk sahabat kita sendiri, yang selalu kita katakan sebagai sahabat sejati.??? Maaf seandainya penulis hanya pandai mengajukan pertanyaan, namun tiada jawapan. Kerna hidup kita mesti berfikir.

Sahabat,

"Senyuman seorang sahabat itu sangat bernilai harganya, apatah lagi jika senyuman itu lahir kerana kita sahabatnya."


Wallahua'lam 
Ikhlas: Pena Maya

#Ya Allah, aku terlalu rindukan sahabat-sahabat satu sekolah SMK Balai Besar Dungun 05-07 dan SM Sains Dungun 08-09.#

Nukilan Cinta


Assalamualaikum wbt...

Bismillahirahmaanirrahim, Dengan Nama Allah Aku menulis dan hanya keranaNya aku memohon keredhaan dalam nukilan aku ini. Bukan kerna aku inginkan nama dalam hidup ini kerana nama hanya akan pudar dari ingatan manusia, namun hanya keberkatan dan kasih sayang Allah yang aku dambakan moga aku diberikan secebis kasih sayang itu untuk dijadikan sebagai mahar untuk aku tegakkan pula syiar agamaNya diatas muka bumi ciptaanNya ini. Bukan kerna tiada isu lain yang ingin dibicarakan namun, benak hati terlalu ingin membicarakan soal ini, mungkin kerana rasa cinta itu mudah pudar dan luntur dari kaca mata hati manusia kepada Tuhan Penciptanya. Atau mungki n kerana isu cinta inilah yang banyak membahanakan jiwa insan bergelar “pelupa” ini. Mengapa terlalu “biadap” bunyinya, hingga dinamakan sebagai pelupa , iya kerana itu adalah kebenarannya , manusia terlalu mudah lupa terutamanya kepada Penciptanya yang Agung, Allah Azzawajalla. Tuhan Yang Memiliki Sekalian Alam ini, tiada yang tersembunyi dari pandanganNya. Pelupanya kita sehinggakan pada nilai pandangan kita tiada ternilai sedikit pun oksigen yang kita hirup setiap detik dan setiap saat ini adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita, namun tiada langsung rungutan dariNya. Pelupanya kita sehinggakan tiada ternilai langsung setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita walaupun secebis roti busuk adalah kurniaan Allah kepada kita, namun pada kita masih jua merungut dan menyalahkan takdirNya. Kerana cinta Allah pada kita itulah kita masih lagi bernafas, hidup atas muka bumi pinjamanNya ini, masih mampu berjalan, masih mampu mendengar, masih mampu melihat ciptaan agungNya, dan masih mampu bercakap. Namun kerana lupalah kita asyik dengan duniawi sahaja dan lupakan Dia. Kerena gantian cinta dunia dengan cinta Allah lah kita lupa, kita gunakan nikmat Allah untuk kita berjalan yang sepatutnya dihayunkan kaki itu ke masjid, surau waima majlis ilmu sekalipun kita gunakan untuk ke tempat-tempat maksiat, rumah syaitan dan iblis laknatullah. Kerana lupa pada cinta Allah kita gunakan nikmat tangan yang bias mengegar dunia itu untuk memusnahkan alam ciptaanNya ini, walhal sepatutnya tangan itu digunakan untuk diangkat mendoakan kesejahteraan diri, keluarga, bahkan jua saudara seagama dengan kita, tangan ciptaan Allah itulah jua yang sepatutnya dijadikan sebagai “penghubung” hidup kita atas muka bumi ini dengan syurga yang kekal  abadi kelak. Kerana lupa pada cinta Allah jualah yang meyebabkan kita lalai dengan nikmat mulut yang dikurniakan Allah, kita gunakan untuk mengumpat, kita gunakan untuk mengadu domba, kita gunakan untuk menabur fitnah, membuka aib saudara kita sendiri. Nauzubillah. Dan kerana lupa pada cinta Allah lah kita lupa untuk menutup nilai rasa malu diri kita pada Allah, kerana jika pada manusia sendiri kita tidak malu untuk menutup aib kita sendiri, bagaimana mungkin kita ada rasa malu untuk menirai maruah paling berharga itu pada tuhan Pencipta kita sendiri.Allahurobbi!!!



Sahabat ikhwah dan ikhwat,

Cinta Allah pada manusia tiada galang gantinya, dan jadikanlah cinta kita pada Allah jua, sebagai cinta yang tiada bandingannya. Rasa cinta yang hadir dalam diri manusia adalah fitrah kehidupan manusia. Rasa suci itu hadir, setelah dicampakkan anugerah yang terindah itu ke dalam hati seorang insan yang mendambakan kasih sayang seorang insan yang lain. Persoalannya oleh siapa rasa cinta itu dicampakkan ke dalam hati manusia? Adakah manusia itu sendiri yang melontarkan, mengetarkan segenap hati dan jantung manusia untuk merasai rasa cinta itu? Adakah rasa cinta itu datang sendiri tanpa diundang oleh kita, manusia insan biasa yang selalunya mudah melupai kehangatan rasa cinta itu? Adakah cinta sejati dalam dunia ini yang selalu diagung-agungkan oleh manusia pelupa seperti kita? Terlalu banyak persoalan  tentang cinta yang selalu hadir dalam benak fikiran kita. Membuak-buak perasaan inginkan jawapan untuk persoalan yang diri kita sendiri ajukan kepada sel-sel saraf yang bergabung membentuk gumpalan tisu-tisu yang akhirnya melahirkan sebiji organ yang kita kenali sebagai otak itu.

Sahabat ikwah dan ikhwat sekalian,

Ada juga persoalan tentang cinta sebelum kahwin  dan cinta selepas kahwin, yang mana lebih membahagiakan? Persoalan, persoalan, dan persoalan. Dan jawapannya sebenarnya ada dalam diri kita sendiri. Kita langsung tidak terfikir bahawa setiap persoalan itu difikirkan oleh kita, diajukan kepada kita, dan jawapannya seharusnya ada pada kita. Bagaimana kita menilai cinta? Bagaimana kita menghargai cinta? Dan mengapa harus dihargai cinta itu? Adakah sama pula cinta dan kasih sayang? Cinta itu sebenarnya rasa penghargaan yang tidak ternilai untuk sesuatu. Rasa takut untuk kita hilang sesuatu itu. Rasa ingin melakukan apa sahaja untuk si dia. Rasa inginkan pengorbanan untuk si dia. Dan mungkinkah rasa cinta kita zahirkan hanya pada ungkapan cinta manis dibibir sahaja,sedangkan hati gelap gelita untuk melihat dan melaksanakan rasa cinta itu. Cinta lah pada Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia seluruh semesta. Bahagia itu dalam diri, kesannya zahir, rupanya maknawi. Bahagia itu jua ada dalam hati. Bahagia itu ada di jiwa. Bahagia itu suatu ketenangan. Bahagia itu lahirnya dari cinta pada Tuhan yakni  Allah Yang Maha Esa. Cintalah pada cinta yang hakiki, barulah cinta pada manusia itu dapat dizahirkan, apa guna cinta pada manusia, namun cinta pada Pencipta dikuburkan begitu sahaja tanpa ada nilai walaupun sebesar  sebutir pasir di pantai yang tandus. Cintalah Allah dengan pengorbanan. Cintalah pada Allah dengan rasa takut hilangnya kasih sayang daripadaNya. Cintalah pada Allah dengan rasa penuh rendah diri, menyedari kekhilafan, kerendahan diri umpama hamba. Dan cintalah pada Allah dengan rasa ingin melakukan apa sahaja demi melihat sinar agamaNya menyinari setiap genap pelusuk dunia, tanpa mengira waktu.  Usah takut jika hilang rasa  kasih manusia lain pada kita, tapi takutlah dan bersedihlah jika kasih sayang Allah yang hilang untuk kita. Dan ingatlah, hidup tanpa cinta Allah umpama  layang-layang yang terputus talinya, tanpa pegangan, kerana tanpa cinta Allah, walaupun berjaya di dunia, namun di akhirat yang kekal abadi, tiada makna.

Wallahua'lam

Ikhlas: Pena Maya